Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam (Bahasa Arab: نبي محمد صلى الله عليه وسلم) adalah pesuruh Allah yang terakhir. Baginda adalah pembawa rahmat untuk seluruh alam dan merupakan Rasulullah
bagi seluruh umat di dunia. Sesungguhnya Nabi Muhammad merupakan satu
anugerah dan kurniaan Allah SWT kepada umat manusia untuk menunjukkan
jalan yang lurus dan benar.
Baginda bukan sahaja diangkat sebagai
seorang rasul tetapi juga sebagai khalifah, yang mengetuai angkatan tentera Islam, membawa perubahan kepada umat manusia, mengajarkan tentang erti persaudaraan, akhlak dan erti kehidupan yang segalanya hanya kerana Allah SWT.
Nabi Muhammad dilahirkan di Makkah, Arab Saudi dan kembali ke rahmatullah di Madinah. Walaupun diketahui bahawa Muhammad merupakan Rasul dan Nabi terakhir bagi umat manusia dan seluruh alam oleh orang Islam, tetapi orang-orang Yahudi dan Nasrani enggan mengiktiraf Muhammad sebagai Nabi dan Rasul. Nabi Muhammad merupakan pelengkap ajaran Islam setelah Nabi Musa dan Nabi Isa.Beliau juga digelar Al Amin (Bahasa Arab الأمين) yang bermaksud 'yang terpuji'.
Baginda lahir dari Keturunan Quraisy (Bahasa Arab قريش). Nabi Muhammad telah diputerakan di Makkah, pada hari Isnin, 12 Rabiulawal (20 April 571M). Ibu baginda, iaitu Aminah binti Wahab, adalah anak perempuan kepada Wahab bin Abdul Manaf dari keluarga Zahrah. Ayahnya, Abdullah, ialah anak kepada Abdul Muthalib. Keturunannya bersusur galur dari Nabi Ismail, anak kepada Nabi Ibrahim kira-kira dalam keturunan keempat puluh.
Ayahnya telah meninggal dunia sebelum kelahiran baginda. Sementara ibunya
meninggal ketika baginda berusia kira-kira enam tahun, menjadikannya
seorang anak yatim piatu. Menurut tradisi keluarga atasan Mekah, baginda telah dipelihara oleh seorang ibu angkat(ibu susu:-wanita yang menyusukan baginda) yang bernama Halimahtus Sa'adiah حلمة السعديه
di kampung halamannya di pergunungan selama beberapa tahun.
Dalam
tahun-tahun itu, baginda telah dibawa ke Makkah untuk mengunjungi
ibunya. Setelah ibunya meninggal, baginda dijaga oleh datuknya, Abdul
Muthalib. Apabila datuknya meninggal, baginda dijaga oleh bapa
saudaranya, Abu Talib.
Ketika inilah baginda sering kali membantu mengembala kambing-kambing
bapa saudaranya di sekitar Mekah dan kerap menemani bapa saudaranya
dalam urusan perdagangan ke Syam (Syria).
Sejak kecil, baginda tidak pernah menyembah berhala dan tidak pernah
terlibat dengan kehidupan sosial arab jahiliyyah yang merosakkan dan
penuh kekufuran.
Dalam masa remajanya, Nabi Muhammad percaya sepenuhnya dengan keesaan Allah.
Baginda hidup dengan cara amat sederhana dan membenci sifat-sifat
angkuh dan bongkak. Baginda menyayangi orang-orang miskin, para janda
dan anak-anak yatim serta berkongsi penderitaan mereka dengan berusaha
menolong mereka.
Baginda juga menghindari semua kejahatan yang menjadi
amalan biasa di kalangan para belia pada masa itu seperti berjudi, meminum minuman keras, berkelakuan kasar dan lain-lain, sehingga beliau dikenali sebagai As Saadiq (yang benar) dan Al Amin
(yang amanah). Baginda sentiasa dipercayai sebagai orang tengah kepada
dua pihak yang bertelingkah di kampung halamannya di Mekah.
Ketika berusia kira-kira 25 tahun, ayah saudara baginda menyarankan
baginda untuk bekerja dengan kafilah (rombongan perniagaan) yang
dimiliki oleh seorang janda yang bernama Khadijah. Baginda diterima
bekerja dan bertanggungjawab terhadap pelayaran ke Syam (Syria). Baginda mengelolakan urusniaga itu dengan penuh bijaksana dan pulang dengan keuntungan luar biasa.
Khadijah
begitu tertarik dengan kejujuran dan watak peribadinya yang mendorong
beliau untuk menawarkan diri untuk mengahwini baginda. Baginda menerima
lamarannya dan perkahwinan mereka adalah bahagia. Mereka dikurniakan 6
orang anak (2 lelaki dan 4 perempuan) tetapi kedua-dua anak lelaki
mereka, Qasim dan Abdullah meninggal semasa kecil. Manakala anak
perempuan baginda ialah Ruqayyah, Zainab, Ummu Kalsum dan Fatimah az-Zahra.
Khadijah merupakan satu-satunya isterinya sehinggalah Khadijah
meninggal pada usia 64 tahun.
dipetik dari sumber : Mr. Wikipedia
No comments:
Post a Comment